WELCOME



Tuesday, January 25, 2011

Kisah Nabi Sulaiman dengan Semut

Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya kepada seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun?”
“Sebesar biji gandum,” jawabnya.


Kemudian, Nabi Sulaiman memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Nabi Sulaiman membuka botol untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu.


“Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman.

“Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikutnya.”


Subhanallah. Pandainya si semut berjimat cermat. Rezekinya hanya sebiji gandum untuk sepanjang tahun itu, tetapi dia makan hanya separuh sahaja. Semut selalu dijadikan ikon sebagai binatang yang berdisiplin dan berjimat cermat.  Lagi pula, selama ini dia diberikan rezeki oleh Allah yang tidak pernah lupa, tetapi apabila Nabi Sulaiman meletakkannya ke dalam botol, si semut beringat, sekiranya Nabi Sulaiman melupakannya, dan sebab itulah dia meyimpan sebahagian gandum tersebut. Maklumlah Nabi Sulaiman hanya manusia yang mungkin terlupa ... Wahai diri ini, ambillah iktibar dari cerita ini, janganlah kita membazir dan berboros dalam berbelanja. Sesungguhnya membazir itu perbuatan syaitan dan orang yang membazir adalah saudara syaitan. Sekiranya ada rezeki lebih, infak kanlah ke jalan kebaikan. Masih ramai orang yang menghadapi kesulitan hidup di luar sana.

Sesungguhnya sedekah itu hiasa harta benda kita.

No comments: